Sebaik sahaja aku pulang dari solat terawih. Aku perhatikan si 'dia' yang sering mengelamun di pangkin kecil itu. Sejak akhir-akhir ni si 'dia' tidak seceria sebelum ini. Terdetik dalam hati untuk menegurnya.
"Awak..." Panggil ku lembut. Seraya itu dia menolehkan wajahnya. Senyuman lembut diberikan padaku.
"Boleh saya duduk?" Soalku.
Si 'dia' hanya mengangguk tanda diizinkan. Si 'dia' berganjak ke kiri sedikit bagi memberi ruang padaku untuk melabuhkan punggung.
"Awak okay? Saya tengok awak muram sahaja. Kenapa?" Just straight to the point jela. Lagipun memang niat aku nak tanya soalan tu. Aku bukan orang yang suka masuk simpang kiri kanan.
"Okay je. Cuma sedih lagi beberapa hari sahaja saya dah nak balik." Jawabnya dengan nada sayu.
Aku pula menekurkan kepala apabila mendengar jawapannya. Oh! Patutlah 'dia' sering muram sejak akhir-akhir ni. Entah kenapa, aku rasa sebak bila dia ungkapkan kata-kata tadi.
"Awak. Kalau awak jangan balik tak boleh ke? Saya rasa sedih nak lepaskan awak. Sejak kedatangan awak hari itu. Awak dah menceriakan hidup saya." Ujarku.
Si 'dia' menghelakan nafas perlahan. Kemudian dia berkata.
"Jika boleh, saya nak sangat berada disisi awak selama-lamanya. Tapi, apakan daya. Tempoh yang diberikan hanya tiga puluh hari. Saya tak boleh buat apa-apa lagi."
Aku masih menekurkan kepala. Setitis demi setitis air mata mengalir.
"Sebelum saya pergi. Saya nak minta sedikit permintaan boleh?"
Aku mengangkat muka. Air mata dikesat perlahan.
"Apa dia?" Soalku.
"Untuk sepuluh malam terakhir ni. Boleh tak kita sama-sama beribadat? Mungkin ini peluang terakhir kita. Dalam pada itu, ada juga kenangan yang tercipta untuk kita berdua. Boleh?"
Aku tersenyum mendengar permintaannya. Perlahan-lahan kepala jatuh setuju. Aku lihat si 'dia' pula tersenyum gembira.
Tiba sahaja hari yang disebutkan itu. Aku dan si 'dia' tidak lepas dari melakukan amal ibadat. Selesai sahaja kami bersolat terawih, kami menyambung dengan bertadarus bersama. Mana yang salah tajwidnya, si 'dia' bantu memperbetulkan. Sejujurnya, aku begitu lemah dalam hukum tajwid al-Quran. Namun, dengan ada kehadiran si 'dia'. Bacaan ku kini semakin lancar.
"Awak. Kenapa ek? Hari ni saya rasa macam tenang je. Nyaman je suasana hari ini." Soalku yang dalam perjalanan ingin pulang dari masjid.
"Itu maknanya, awak dah jumpa malam Lailatul Qadar. Malam seribu bulan. Tahniah wak." Ucapnya.
Aku tersenyum. Mungkin juga. Sebab ada orang kata, jika munculnya malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir, akan ada satu malam dimana ia terasa tenang dan nyaman.
"Awak..." Panggilku.
"Ye." Sahutnya.
"Tak boleh ke awak tangguh sehari?" Soalku.
"Tak boleh. Persinggahan saya kali ini sudah ditetapkan. Memang tiga puluh hari." Jawabnya yang sudah mula meninggi.
Aku tertunduk. Menitis sekali lagi air mata ini.
"Awak. Saya minta maaf. Saya tak ada niat nak tengking awak. Maafkan saya."
"Tak. Awak tak ada salah langsung dengan saya." Jawabku dalam nada sendu.
"Awak jangan lah sedih macam ni. Awak kena ingat, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itulah lumrah sebuah kehidupan. Awak kena terima semua tu." Nasihatnya.
Aku mengangguk faham. Pasti saya akan merindui awak. Saya akan pastikan!
Kini, tiba lah hari yang paling menyedihkan. Hari di mana, si 'dia' ataupun namanya Ramadhan akan meninggalkan aku.
"Awak. Azan maghrib dah berkumandang. Saya minta izin daripada awak untuk pergi dahulu. Awak jangan sedih tau. Ingat pesanan saya hari tu. Setiap pertemuan ada perpisahan."
Aku tersenyum. Menyembunyikan seribu kedukaan. Terasa berat hati yang kecil ini untuk melepaskan Ramadhan pergi. Namun, terpaksa juga aku tabah dan redha. Memang benar katanya, setiap pertemuan pasti ada perpisahan.
"Baiklah. Saya izinkan awak pergi. In Sha Allah, umur panjang. Kita jumpa pada tahun hadapan." Balasku.
"Awak jaga diri baik-baik. Teruskan beramal ibadat. Sematkan dalam hati awak dengan kalimah Laa ilaaha Illallah. Jaga iman awak sentiasa. Saya pergi dulu."
Ramadhan memberikan lambaian terakhir padaku. Aku membalas lambaian itu dengan penuh kehibaan. Makin lama makin hilang Ramadhan dari pandangan ku.
'Selamat tinggal Ramadhan. Terima kasih atas kesudian mu membawa aku ke jalan yang benar. In Sha Allah, aku akan sentiasa ingat pesanan mu. Terima Kasih Ramadhan.'
No comments:
Post a Comment